Nota Panglima Tentera Udara

  • 1. Terjemahan Air Commodore disandarkan kepada Commodore atau Komodor tentera laut. TLDM, semenjak diambil alih, telah mula memperkenalkan sistem pangkat berasas bahasa Melayu ataupun di-Melayukan. Sebagai contoh Admiral kepada Laksamana, Vice Admiral kepada Laksamana Madya dan Rear Admiral kepada Laksamana Muda. Untuk melengkapkan sistem ini, Commodore menjadi Komodor. Penggunaan Komodor akhirnya digugurkan dan diganti dengan Laksamana Pertama yang kekal sehingga kini.
  • 2. Dato'Sulaiman Sujak diserapkan daripada perkhidmatan Tentera Udara Diraja British dan bukan daripada Tentera Udara Sukarelawan Malaya. Justeru, beliau telah mengekalkan penggunaan sistem pangkat British, hampir sama seperti yang digunakan oleh Polis Diraja Malaysia kini, (contohnya, Asisten Komisyener, Deputi Superintenden). Walau bagaimanapun, PDRM menggunakan ejaan yang di-Melayukan tanpa menafsirnya kepada perkataan bahasa Melayu.
  • 3. Ketika pemerintahan Dato' Mohamad Taib, beliau telah menukar sistem pangkat ketika itu (British), kepada sistem mirip Tentera Darat Malaysia, sepertimana sistem pangkat Tentera Udara Amerika Syarikat (contohnya, Group Captain menjadi Kolonel, Wing Commander menjadi Leftenan Kolonel, Squadron Leader menjadi Mejar). Secara kebetulan pula, beliau merupakan pegawai yang diserapkan daripada Tentera Darat. Lebih penting, penukaran ini mengelakkan kekeliruan yang seringkali timbul di antara perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Beliau mengekalkan insignia pangkat yang diwarisi dari British, kecuali Brigedier Jeneral (Udara) dan keatas, tetapi menambahkan perkataan (Udara).
  • 4. Pada pertengahan 80an, sistem pangkat TUDM sekali lagi mengalami perubahan kecil apabila perkataan (Udara) digugurkan dan diganti dengan (TUDM) diakhir nama seseorang pegawai. Untuk rekod, Tan Sri Mohamad bin Ngah Said juga pegawai yang telah diserap dari Tentera Darat. Sistem itu kekal digunakan sehingga hari ini. Bagaimanapun insignia TUDM dan uniformnya terus mengalami beberapa perubahan selepas itu.